Wednesday, 10 April 2013

PRU13: Calon PAS ke luar Kelantan | Local English | News | News Mylaunchpad

PRU13: Calon PAS ke luar Kelantan | Local English | News | News Mylaunchpad

UALA LUMPUR, (Bernama) - Adakah langkah PAS menamakan tiga tokoh parti itu untuk bertanding di luar Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menggambarkan mereka sudah hilang keyakinan boleh menang di negeri itu, atau Kelantan dan negeri pantai timur sudah tidak lagi menerima mereka? 
Perkara ini menjadi tanda tanya apabila Presiden PAS mengumumkan sejumlah nama calon parti itu untuk PRU13 di sini hari ini.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat Sabu) yang pada pilihan raya umum 2008 ditolak oleh pengundi kawasan Parlimen Kuala Terengganu dinamakan sebagai calon PAS untuk kawasan Parlimen Pendang di Kedah; manakala Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, akan bertanding di kawasan Parlimen Putrajaya, kubu kuat Barisan Nasional.
Salahuddin Ayub pula yang sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dinamakan calon di satu lagi kubu kuat BN iaitu kawasan Parlimen Pulai, di Johor, yang pada pilihan raja umum 2008 dimenangi oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan majoriti selesa 20,449 undi. Muslihat PAS sukar diduga, tetapi sebilangan pihak mengatakan bahawa peralihan Husam ada kaitan dengan khabar-kabar angin bahawa beliau berdepan dengan masalah hubungan tidak baik dengan pihak Istana Kelantan.
Bagi Mat Sabu, yang bakal mencuba nasib untuk kali kelapan dalam pilihan raya umum, peralihan beliau ke Pendang dilihat sebagai usaha PAS untuk memberinya kerusi selamat.
Kerusi Pendang dimenangi oleh Mohd Hayati Othman dari PAS dengan majoriti 4,073 undi pada pilihan raya umum 2008.
Pihak media menunggu hampir dua jam sebelum Abdul Hadi membuat pengumuman senarai calonnya itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung parti itu.
Abdul Hadi sendiri akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang, Terengganu, manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kekal mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, untuk kali kelima. 
Kecuali pengumuman pencalonan Nik Abdul Aziz, yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, kesemua nama calon lain PAS diumumkan oleh Abdul Hadi.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kekal mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena, Kedah, manakala bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis di Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari, yang merupakan muka baru akan bertanding di kawasan Parlimen Larut, Perak.
Dua lagi muka baru iaitu pengerusi Angkatan Amanah Merdeka Terengganu (Amanah) Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dinamakan sebagai calon di kawasan Parlimen Kuala Terengganu manakala penyanyi popular 90-an Wan Aishah Wan Ariffin calon kawasan Parlimen Jempol.
Bercakap di sidang akhbar itu, Husam yang mengaku menjadi ''calon payung terjun'' di PRU13, menyifatkan pertandingannya kali ini sebagai suatu tugas berat kerana bakal berhadapan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya iaitu Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang disifatkannya seorang pemimpin yang sangat hebat.
Pengumuman mengenai beberapa calon India dan Cina dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta calon-calon lain termasuk calon Muslimat PAS akan diumumkan pada suatu masa lain yang tidak dinyatakan.

No comments:

Post a Comment